DISEMBER 2021

Perjanjian Ditandatangani Bekal Gula Apong Ke Singapura


SIBU: Singapura berminat mengimport gula apong dari Sarawak bagi tempoh tiga tahun.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, satu perjanjian telah ditandatangani dengan sebuah syarikat tempatan baru-baru ini, bagi membekalkan gula apong ke Singapura dalam kuantiti yang banyak.

“Pada bulan lalu, pejabat kita di Singapura iaitu STATOS (Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak, Singapura), menyatakan orang Singapura berhasrat mengimport gula apong. 

“Ini bermakna, gula apong kita dieksport ke Singapura selama tiga tahun. Mesti selepas tiga tahun akan bertambah. Gula apong dihasilkan dari nila apong yang banyak di tepi sungai, di Mukah, Saribas dan Igan,” katanya ketika berucap merasmikan Showcase Usahawan Sibu di Dewan Kompleks Islam Sarawak Sibu, hari ini.

Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera (PBB) itu meminta Centre Of Technical Excellence Sarawak (CENTEX) menggunakan teknologi baharu untuk mendapatkan gula apong. 

“Dari situ kita dapat kualiti gula apong, kita keluarkan gula apong yang premium, kita jual dengan harga yang tinggi di Singapura.

“Usahawan mesti melihat peluang seumpama ini dan mencari jalan bagaimana hendak membangunkannya,” jelasnya.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga menegaskan, Kerajaan Sarawak pimpinan GPS sentiasa menerokai bidang-bidang baharu yang dapat memberi kesan positif ke atas ekonomi negeri ini.

“Pada masa sama, golongan muda boleh mengambil bahagian dari sudut produk dan perkembangan yang baharu berteraskan kepada ekonomi digital.

"Kita di Sibu ada Dr Annuar yang banyak idea-idea baharu. Sebab itu saya minta dia tolong dari sudut penyelidikan," ujarnya lagi.

Turut hadir ialah penyandang kerusi DUN Nangka, Dr Annuar Rapaee, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Dr. Zaini Mahdi.

Sumber dari : Jiwa Bakti